Sunday, May 22, 2011

Bumi Mana yang Tidak Pernah Disirami Hujan

Bersabarlah, hidup ini bukan untuk mengikut kehendak kita tetapi mengikut kehendak Yang Mencipta kita.


"Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku".
[surah az-Zariyat:ayat 56]

Takdir yang datang pada kita dan untuk kita pula bukan untuk dipersalahkan, tetapi untuk sentiasa disyukuri setiap apa yang Allah S.W.T. kurniakan. Banyak kali Allah S.W.T. menyebut tentang sesuatu perkara setelah diberikan kepada hamba-Nya lalu Allah S.W.T. berfirman di akhirnya yang bermaksud :

"Mudah-mudahan kamu bersyukur." [al-Hajj: ayat 36]

Sedih dan Berduka
Tidak salah untuk merasa sedih kerana ia suatu perasaan. Tidak salah untuk merasa kecewa kerana itu juga suatu perasaan. Tidak salah juga untuk menangis kerana ia sememangnya jua sebuah luahan perasaan sedih dan kecewa. Perasaan dan luahan yang Allah S.W.T. kurniakan untuk setiap hamba-Nya bagi melengkapkan kesempurnaan ciptaan makhluk-Nya dan untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih sayang Allah S.W.T. buat hamba-hamba-Nya.
Namun yang menjadi salahnya apabila manusia melebih-lebihkan kesedihan itu dengan menyalahkan takdir, lalu melakukan perkara-perkara yang menyalahi fitrah. Bunuh diri, makan pil tidur melebihi dos, minum arak, memaki hamun orang lain, menyebar fitnah dan sebagainya.
Itu semua tidak Allah S.W.T. sukai dan redhai. Tapi apa yang Allah S.W.T. suka? Lihatlah apa yang Allah S.W.T. firmankan yang bermaksud :
"Orang yang apabila ditimpa musibah lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami milik Allah S.W.T. dan kepada-Nya kami kembali." [surah al-Baqarah: ayat 156]


Siapakah yang mampu mengucapkan ucapan seperti ini melainkan hamba-hamba yang sabar dan redha dengan takdir Allah S.W.T. lalu menyerahkan diri hanya kepada-Nya. Ya, Allah S.W.T. suka orang-orang yang sabar. Sabar, sabar, dan sabar.
Takdir Untuk Kita
Kadang-kadang kita rasa apa yang Allah S.W.T. takdirkan itu buruk untuk kita sampai kita menangis dan terlalu kecewa, tetapi hakikatnya tidak begitu. Allah S.W.T. sayangkan kita. Allah S.W.T. tidak berkehendak kita jatuh ke tempat yang tidak baik.
Cuba kita teliti jalan-jalan yang pernah kita lalui dahulu, kadang-kadang ada kehendak yang kita tidak dapat penuhi lantaran tidak mendapat keizinan, dikecewakan, ditipu dan sebagainya. Selaklah kembali kisah-kisah selepas kejadian memilukan tersebut, tentu ada kebaikan yang tersingkap lalu kita mengucap 'Alhamdulillah', 'nasib baik', 'kalau tak' dan ucapan yang seumpama dengannya.
Semua itu adalah hikmah, hikmah dari Allah S.W.T. yang tersembunyi ketika berlaku musibah pada kita, kemudian terzahir beberapa waktu andai kita duduk berfikir. Semua itu untuk kita lebih mensyukuri setiap nikmat yang ada di depan mata kita dan menjadi hamba yang 'Syakura' (banyak bersyukur).
Benarlah seorang murabbi selalu mengatakan, Allah S.W.T. tidak pernah mahukan yang buruk-buruk buat hamba-Nya. Cuma untuk beberapa perkara yang perlu kita lalui di atas muka bumi ini, ia bergilir-gilir dengan perkara kebaikan dan keburukan.
Allah S.W.T. memberi kita peluang untuk membuat pilihan sama ada hendak berbuat baik atau berbuat jahat. Pilihlah mana satu kata hati dan kehendak kita.
Tapi ingat, natijah dan kesan untuk keduanya berbeza.
Jangan ditanya kenapa Allah S.W.T. cipta Neraka kalau Allah S.W.T. sayangkan hamba-Nya? Sebab Allah S.W.T. sudah memberi pilihan di dunia dan setiap pilihan berbeza kesan kehidupan di akhirat. Bermakna jika seseorang memilih untuk berbuat kejahatan, maka dia masuk ke dalam Neraka adalah untuk pilihannya sendiri bukan kerana takdir Allah S.W.T.. Manakala jika seseorang berbuat kebaikan lalu masuk Syurga, itu juga atas pilihannya tetapi di atas rahmat Allah S.W.T..
La Tahzan
Akhir kata, janganlah bersedih pada ujian yang menimpa. Bukan hanya kita yang merasa, orang lain juga lebih teruk menderita. Seperti para Rasul dan sahabat menderita, lebih dalam dan jurang ujiannya. Namun dengan ujian itu mereka bersabar lalu diangkat darjat mereka.
Mudah-mudahan Allah S.W.T. kurniakan kesabaran buat kita berpanjangan. Ameen ya Rabb.
'Bumi mana yang tidak pernah disirami hujan, kerana dengan hujan itu suburlah dan indahlah bumi.

'Manusia mana yang tidak pernah ditimpa ujian, kerana dengan ujian itulah semakin subur iman dan keyakinan insan pada Tuhan.'



sumber :: 


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...