Bukan hati kita tidak mahu mengerti bukan hati tidak pernah memahami. Cerita dan kehendak yang tertulis sesekali tersimpan di ingatan. Cuba dileraikan namun masih kuat di hati. DIA itu mengerti setiap masa dan sentiasa di sisi. Sewaktu melihat gelak ketawa kanak-kanak membuatkan hati ini tenang dan gembira. Terasa ingin kembali menjadi seperti mereka.
Namun,apakan daya inilah proses kehidupan. Dari lahir sebagai seorang bayi,sehingga meningkat dewasa proses kehidupan sentiasa berputar. Kehidupan yang dilalui hari-hari mengenal erti nikmat dan hikmah dari-Nya. Kadangkala, manusia itu sendiri terlepas pandang, bahkan berpaling untuk merasakan sesuatu yang lebih baik.
Cerita yang mungkin berbeza di antara kita semua menjadikan hidup ini sesuatu yang indah untuk dihargai. Punya persoalan dan jawapan bagi setiap sesuatu. Namun, titik kesabaran dan kejujuran yang perlu kita semat dalam hati sedetik pun tidak pernah goyah pengharapan pada-Nya. Jujurnya, nilai-nilai ini menjadikan kita insan yang tidak pernah mengeluh erti putus asa dan rahmat dari-Nya. Kata ini mungkin tidak bernilai pada yang tidak tahu makna, namun DIA punya jawapan yang tertulis.
Manusia itu punya hati dan akal yang memberikan ruang untuk manusia berfikir. Antara kewarasan akal dan iman yang terpahat di dada menjadikan setiap tindakan yang dibuat seiring dan berlapang dada dengan segala sesuatu. Tergesa-gesa untuk setiap tindakan yang dilakukan menjadikan manusia itu terburu-buru dalam melakukan keputusan.
Saya masih ingat sehingga kini bahawa nilai amarah itu tidak mungkin dapat melahirkan satu hasil yang baik. Amarah itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan melainkan kemudaratan yang mungkin memberi kesan pada jiwa manusia. Teguhkan iman di hati, perbaharuilah sesuatu tindakan dengan berhikmah.
Nilai kesabaran perlu disemat dan kejujuran itulah utuhnya hati seorang muslim. Lahirnya sebuah naluri hati yang tidak mungkin bisa menipu pandangan hati manusia jika terarah kepada pencipta-Nya yang agung.
"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amatlah berat kecuali bagi orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, ayat 45)
Sungguh hidup ini sesuatu yang indah untuk dinikmati dan dikongsi jika kita tahu bagaimana pelayaran sebuah nakhoda itu berakhir. Qalbu salim adalah hati yang sempurna dicari sepanjang pelayaran seorang insan bergelar hamba.sekian ;)
No comments:
Post a Comment