Tuesday, May 31, 2011

Antara Ribut Hati Dan Nilai Sabar


Bukan hati kita tidak mahu mengerti bukan hati tidak pernah memahami. Cerita dan kehendak yang tertulis sesekali tersimpan di ingatan. Cuba dileraikan namun masih kuat di hati. DIA itu mengerti setiap masa dan sentiasa di sisi. Sewaktu melihat gelak ketawa kanak-kanak membuatkan hati ini tenang dan gembira. Terasa ingin kembali menjadi seperti mereka.
Namun,apakan daya inilah proses kehidupan. Dari lahir sebagai seorang bayi,sehingga meningkat dewasa proses kehidupan sentiasa berputar. Kehidupan yang dilalui hari-hari mengenal erti nikmat dan hikmah dari-Nya. Kadangkala, manusia itu sendiri terlepas pandang, bahkan berpaling untuk merasakan sesuatu yang lebih baik.
Cerita yang mungkin berbeza di antara kita semua menjadikan hidup ini sesuatu yang indah untuk dihargai. Punya persoalan dan jawapan bagi setiap sesuatu. Namun, titik kesabaran dan kejujuran yang perlu kita semat dalam hati sedetik pun tidak pernah goyah pengharapan pada-Nya. Jujurnya, nilai-nilai ini menjadikan kita insan yang tidak pernah mengeluh erti putus asa dan rahmat dari-Nya. Kata ini mungkin tidak bernilai pada yang tidak tahu makna, namun DIA punya jawapan yang tertulis.
Manusia itu punya hati dan akal yang memberikan ruang untuk manusia berfikir. Antara kewarasan akal dan iman yang terpahat di dada menjadikan setiap tindakan yang dibuat seiring dan berlapang dada dengan segala sesuatu. Tergesa-gesa untuk setiap tindakan yang dilakukan menjadikan manusia itu terburu-buru dalam melakukan keputusan.
Saya masih ingat sehingga kini bahawa nilai amarah itu tidak mungkin dapat melahirkan satu hasil yang baik. Amarah itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan melainkan kemudaratan yang mungkin memberi kesan pada jiwa manusia. Teguhkan iman di hati, perbaharuilah sesuatu tindakan dengan berhikmah.
Nilai kesabaran perlu disemat dan kejujuran itulah utuhnya hati seorang muslim. Lahirnya sebuah naluri hati yang tidak mungkin bisa menipu pandangan hati manusia jika terarah  kepada pencipta-Nya yang agung.
"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amatlah berat kecuali bagi orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, ayat 45)
Sungguh hidup ini sesuatu yang indah untuk dinikmati dan dikongsi jika kita tahu bagaimana pelayaran sebuah nakhoda itu berakhir. Qalbu salim adalah hati yang sempurna dicari sepanjang pelayaran seorang insan bergelar hamba.sekian ;)

Apa khabar jodohku?


Apa khabar jodohku?
Berat rasanya kelopak mataku untuk tertutup. Bagaimana dengan kamu?
Apa kamu selalu terbangun di sepertiga malam terakhir? .. dan apakah mulutmu terus menerus berzikir dimalam hari?
Jujur aku rindu kamu, wahai jodohku..
Tapi saat ini belum saatnya untuk kita bertemu, bukannya aku tak mahu, atau aku tak rindu. Tapi sememangnya kerana perjalanan kita masih panjang, dan masih banyak kewajipan yang harus kita penuhi saban waktu.
Kadang–kala aku berfikir, apa nanti saat subuh tiba kau akan membangunkanku? Mengajakku bertafakur dan bersujud kepada-Nya?
Berat hati ini menantikanmu, gelisah pula hati ini memikirkanmu.
Adakah kau selalu menghiasi langkahmu dengan kebaikan-kebaikan?. Apakah nanti saat zuhur tiba, kau akan meninggalkan kesibukanmu sementara, hanya untuk menghadapNya?
Jodohku, sihatkah kamu?
Kalau aku berada disampingmu saat ini, mungkin aku akan merawatmu dengan penuh kasih sayang.
Jodohku, sabar dan tenanglah..
Aku disini masih bersabar menanti mu. Janganlah hatimubersedih, senyumlah.. kerana aku yakin kebahagiaan akan selalu menyertai kita.
Jikalau detik ini hatimu sedang terluka, berwuduklah.. dan dekatkanlah dirimu kepada-Nya. Tetapi disini aku berharap agar kamu baik-baik saja.
Jodohku, aku rindu..
Bilakah kita akan bertemu?. Begitu banyak hal yang ingin ku ceritakan kepadamu. Begitu banyak pula harapanku untuk menantikan nasihat–nasihat mu.
Hati ini kosong, dan hati ini tak sabar menanti kehadiranmu yang kan membalut dan menyembuhkan luka dihatiku.
Jodohku..
Adakah kau juga rindu padaku?. Bagaimana dengan Quranmu?. Sudahkah kau baca diantara maghrib dan isyak?. Apa yang kau fahami dari surah itu?. Ceritakanlah kepadaku.. ingin aku mendengarnya.
.. Dan begitu juga dengan keluhanmu, aku sedia mendengarnya..
Apa perubahan  yang kau lakukan dari hari ke hari?. Semakin baikkah?. Ketahuilah, ku hanya mengharapkan yang terbaik buatmu.
Jodohku..
Disetiap langkahku dan seusai solatku, ku bisikkan AL-Fatihah untukmu, agar kau selalu berada dijalan-Nya.
Bersabarlah sayang, waktu-waktu ini bukanlah waktu yang lama.. dan ingatlah sayangku, janganlah sampai dirimu tersalah memilih jalan.
Jodohku..
Nantikanlah diriku, dengan perbagai kebaikan yang nantinya akan membawa rahmat untuk kita dari-Nya.
Jagalah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama.. kerana aku mencintaimu secara tulus dan ikhlas demi-Nya.
Jodohku..
Bersiaplah kau untuk mencintaiku secara tulus dan redha menerima segala kekuranganku dan membenarkanku dikala aku salah.
Sayang, berusahalah membahagiakan orang tuamu .. dengan menjaga sikapmu dan tutur katamu. Aku yakin kau adalah seorang yang sabar, seorang yang cekal, seorang yang boleh membesarkan anak–anak kita kelak dengan penuh hikmah.
Ingatlah, jangan pernah dikau merasa keseorangan.. kerana aku disini masih setia menantimu.
Jodohku..
Seandainya siang sudah berlalu.. pejamkanlah matamu dengan buaian doa, dariku yang selalu kuhadiahkan untukmu.
Jodohku..
Ingatlah sayang, aku selalu ada untukmu..
Semoga kerinduanku ini akan terjawab, seiring berjalannya waktu.. dan semoga ALLAH yang maha Esa selalu membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya. Amin.

Sunday, May 22, 2011

Bumi Mana yang Tidak Pernah Disirami Hujan

Bersabarlah, hidup ini bukan untuk mengikut kehendak kita tetapi mengikut kehendak Yang Mencipta kita.


"Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku".
[surah az-Zariyat:ayat 56]

Takdir yang datang pada kita dan untuk kita pula bukan untuk dipersalahkan, tetapi untuk sentiasa disyukuri setiap apa yang Allah S.W.T. kurniakan. Banyak kali Allah S.W.T. menyebut tentang sesuatu perkara setelah diberikan kepada hamba-Nya lalu Allah S.W.T. berfirman di akhirnya yang bermaksud :

"Mudah-mudahan kamu bersyukur." [al-Hajj: ayat 36]

Sedih dan Berduka
Tidak salah untuk merasa sedih kerana ia suatu perasaan. Tidak salah untuk merasa kecewa kerana itu juga suatu perasaan. Tidak salah juga untuk menangis kerana ia sememangnya jua sebuah luahan perasaan sedih dan kecewa. Perasaan dan luahan yang Allah S.W.T. kurniakan untuk setiap hamba-Nya bagi melengkapkan kesempurnaan ciptaan makhluk-Nya dan untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih sayang Allah S.W.T. buat hamba-hamba-Nya.
Namun yang menjadi salahnya apabila manusia melebih-lebihkan kesedihan itu dengan menyalahkan takdir, lalu melakukan perkara-perkara yang menyalahi fitrah. Bunuh diri, makan pil tidur melebihi dos, minum arak, memaki hamun orang lain, menyebar fitnah dan sebagainya.
Itu semua tidak Allah S.W.T. sukai dan redhai. Tapi apa yang Allah S.W.T. suka? Lihatlah apa yang Allah S.W.T. firmankan yang bermaksud :
"Orang yang apabila ditimpa musibah lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami milik Allah S.W.T. dan kepada-Nya kami kembali." [surah al-Baqarah: ayat 156]


Siapakah yang mampu mengucapkan ucapan seperti ini melainkan hamba-hamba yang sabar dan redha dengan takdir Allah S.W.T. lalu menyerahkan diri hanya kepada-Nya. Ya, Allah S.W.T. suka orang-orang yang sabar. Sabar, sabar, dan sabar.
Takdir Untuk Kita
Kadang-kadang kita rasa apa yang Allah S.W.T. takdirkan itu buruk untuk kita sampai kita menangis dan terlalu kecewa, tetapi hakikatnya tidak begitu. Allah S.W.T. sayangkan kita. Allah S.W.T. tidak berkehendak kita jatuh ke tempat yang tidak baik.
Cuba kita teliti jalan-jalan yang pernah kita lalui dahulu, kadang-kadang ada kehendak yang kita tidak dapat penuhi lantaran tidak mendapat keizinan, dikecewakan, ditipu dan sebagainya. Selaklah kembali kisah-kisah selepas kejadian memilukan tersebut, tentu ada kebaikan yang tersingkap lalu kita mengucap 'Alhamdulillah', 'nasib baik', 'kalau tak' dan ucapan yang seumpama dengannya.
Semua itu adalah hikmah, hikmah dari Allah S.W.T. yang tersembunyi ketika berlaku musibah pada kita, kemudian terzahir beberapa waktu andai kita duduk berfikir. Semua itu untuk kita lebih mensyukuri setiap nikmat yang ada di depan mata kita dan menjadi hamba yang 'Syakura' (banyak bersyukur).
Benarlah seorang murabbi selalu mengatakan, Allah S.W.T. tidak pernah mahukan yang buruk-buruk buat hamba-Nya. Cuma untuk beberapa perkara yang perlu kita lalui di atas muka bumi ini, ia bergilir-gilir dengan perkara kebaikan dan keburukan.
Allah S.W.T. memberi kita peluang untuk membuat pilihan sama ada hendak berbuat baik atau berbuat jahat. Pilihlah mana satu kata hati dan kehendak kita.
Tapi ingat, natijah dan kesan untuk keduanya berbeza.
Jangan ditanya kenapa Allah S.W.T. cipta Neraka kalau Allah S.W.T. sayangkan hamba-Nya? Sebab Allah S.W.T. sudah memberi pilihan di dunia dan setiap pilihan berbeza kesan kehidupan di akhirat. Bermakna jika seseorang memilih untuk berbuat kejahatan, maka dia masuk ke dalam Neraka adalah untuk pilihannya sendiri bukan kerana takdir Allah S.W.T.. Manakala jika seseorang berbuat kebaikan lalu masuk Syurga, itu juga atas pilihannya tetapi di atas rahmat Allah S.W.T..
La Tahzan
Akhir kata, janganlah bersedih pada ujian yang menimpa. Bukan hanya kita yang merasa, orang lain juga lebih teruk menderita. Seperti para Rasul dan sahabat menderita, lebih dalam dan jurang ujiannya. Namun dengan ujian itu mereka bersabar lalu diangkat darjat mereka.
Mudah-mudahan Allah S.W.T. kurniakan kesabaran buat kita berpanjangan. Ameen ya Rabb.
'Bumi mana yang tidak pernah disirami hujan, kerana dengan hujan itu suburlah dan indahlah bumi.

'Manusia mana yang tidak pernah ditimpa ujian, kerana dengan ujian itulah semakin subur iman dan keyakinan insan pada Tuhan.'



sumber :: 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...