Wednesday, November 28, 2012

Adam.kenalilah Hawa~!


Adam, kenalilah Hawa. Tolong!"
Minggu ini, bertimpa-timpa aku menerima panggilan dari teman. Teman jauh, mahu teman dekat. Mukadimahnya esak tangis. Puncanya pelbagai.
Lama aku diam. Cuba menangkap gelora hati, membaca gejolak jiwa. Namun yang terzahir hanya alunan sedu-sedan.
Jujur, aku tidak sepenuhnya mengerti.
Hawa itu kadang keliru. Mahu terus membisu, bimbang disalahtafsir. Mahu berlaku jujur, terpalit segan. Mahu menutur kata, bimbang hati dicemari.
Hawa itu kadang cemburu. Melihat yang lain mendapat itu ini tika dirinya diketerbatasan mampu.
Hawa itu kadang buntu. Mahu diceritakan, dia juga tidak tahu apa puncanya.
Itu kisah Hawa. Mungkin kisah itu tidak bisa menyentuh hati seorang Adam, tapi jika dia Hawa, jiwanya pasti meruntun sayu mendengarnya.
Aneh bukan? Ya, kerna Hawa itu sifatnya aneh.
Lalu, harus bagaimakah?
Pasti, aku juga tidak punya jawapan untuk itu.
Hawa. Hatinya sangat rapuh. Jiwanya sangat sensitif. Matanya mudah saja berkaca. Kata mereka itu tanda lemah. Tapi aku bilang itu fitrah.
Bukan mereka mahu mengundang simpati, tapi cukup untuk meluahkan rasa di hati. Jangan sesekali terjemahkan itu sebagai kekalahan. Tidak sama sekali! Itulah sebenarnya punca kekuatan dalam ketahanan mereka.
Adam, aku khabarkan bukan untuk minta engkau mengerti, kerana aku; Hawa, juga tidak pernah mengerti.
Cukuplah agar engkau tahu. Moga engkau tidak mudah mengusik hatinya. Hati yang punya sarat perasaan. Perasaan yang kadang menjerat dirinya dalam silap menterjemah erti di sebalik kata seorang Adam, dalam silap mentafsir maksud di sebalik tingkah seorang Adam.
Berhentilah. Supaya mereka tidak kepenatan berjuang seorangan jika engkau turut sama berjuang
Harungilah sujudmu ketepian Redha-Nya. Kirimkanlah untaian kata indah lewat doamu. Moga Hawa itu terus kuat!
Aku pernah jadi perempuan.
Aku pernah jadi gadis.
Aku pernah jadi wanita.
Kini, biar aku jadi muslimah.
bingkisan teman,
dari Hawa buat Adam. :)


Sunday, November 25, 2012

Saat Aku Diberi Pilihan.

Manusia sentiasa diberi pilihan , itu tandanya kasih sayang Allah pada kita. Bagi saya, pilihan itu juga ujian.
saat aku diberi pilihan.buntu.
---------------------------
Rasanya tidak salah saya katakan, anak muda sekarang ingin benar cepat kahwin. Ingin menjaga diri katanya, adapun ingin ada orang yang menjaganya. Lebih manis cintanya selepas kahwin. Malahan, itu bukanlah sesuatu yang salah, saya malahan memuji anak muda yang punya cita-cita ingin lekas bernikah. Jika diteliti maksud hadis,

“Apabila seseorang melaksanakan pernikahan, bererti telah menyempurnakan separuh agamanya, maka hendaklah ia menjaga separuh yang lain dengan bertaqwa kepada Allah”     – HR Baihaqi dari Anas bin Malik

Saya juga tidak terkecuali. Teman-teman saya juga begitu. Alangkah cemburunya melihat rakan sebaya sudah membina masjid, mendirikan rumah tangga. Biasanya, tidak banyak yang saya nyatakan berkenaan soal ini, mengetahui perihal diri saya yang sudah pun diberi pilihan oleh Allah, berkali-kali.

Pilihan. Pada pendapat saya, saya kira ramai juga yang beranggapan bahwa mereka tidak diberi pilihan yang cukup, atau mungkin pilihan yang ada sukar sekali ingin dilaksanakan. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Susah benar ingin memilih mahu ditelan atau diluah, hingga pernah saya mendengar satu jenaka bahwa jika begitu, biarkan sahaja di dalam mulut, jangan ditelan atau diluah, tidak mahu ada orang yang mati! Namun, sampai bila bukan?
Pilihan itu datang tanpa pernah kita duga. Begitu juga ujian Allah. Hayati ayat Al-Quran yang bermaksud,

“Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan dengan berkata, kami beriman kepada Allah, sedangkan mereka belum diuji. Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang terdahulu daripada mereka semata-mata untuk mengetahui mereka benar-benar beriman atau mereka berdusta untuk beriman kepada Allah.” - Surah al-Ankabut: 2

Bagi saya, pilihan itu juga ujian. Dalam konteks hal ini, ujian berat yang sangat besar bagi saya. Saat itu, bagaikan tidak tertanggung hati kecil saya ini menerimanya. Hanya Allah yang tahu.

Istikharah-lah!Jujur saya nyatakan, saya jarang sekali mendirikan solat sunat istikharah. Jahilnya saya, sedangkan istikharah itu bukan cuma untuk jodoh.
Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”– Hadis riwayat Imam Bukhari

Begitu lemah hati saya, lama benar saya menangis, tanpa membuat pilihan. Ada seketika itu, saya marah pada diri saya sendiri, mengapa saya begitu buntu untuk membuat pilihan. Ada yang berkata, “Pilihannya cuma dua – kalau suka terimalah, kalau tidak suka boleh menolak bukan?” Namun, saya benar-benar tidak tahu apa yang saya inginkan. Saya inginkan kebaikan, bukankah ini suatu kebaikan? Bagaimana harus saya tolak kebaikan? Saya fikirkan apa hikmah Allah beri saya semua ini, adakah saya benar-benar ikhlas kepadaNya. Ikhlaskah saya?

Kesudahannya, tiada mimpi yang saya terima, cuma keyakinan hati saya. Saya benar-benar harap itu petunjuk Allah buat saya. Bagi saya, petunjuk istikharah itu boleh datang berbagai cara. Tidak semesti dapat jawapannya jelas ya atau tidak. Cukuplah kekuatan saya meneruskan keputusan yang saya pilih. Saya bulatkan tekad dan kekuatan saya, dan saya beranikan diri saya membuat pilihan. 

Bagaimana dengan Istisyarah?
Padahal istisyarah (usaha mengumpul pendapat baik buruk) itu perlu sebelum istikharah (minta ketetapan hati membuat keputusan). Entah apa dan bagaimana harus saya khabarkan pada mereka. Namun, di kalangan sahabat- sahabat yang sudah sedia tahu, saya minta pendapat mereka satu persatu. 

Melihat perkahwinan sebagai medan untuk menerima, menjadikan kita sering gelisah dan hidup meminta-minta.
Melihat perkahwinan sebagai medan untuk memberi, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan.

Jawapan Murabbi saya  : “Sungguh, aku tidak mengetahui apa yang ada dalam hatimu. Mintalah pada Allah, Dia lebih mengetahui yang terbaik buat dirimu”

ya Allah, tuntunilah langkah ku.
To be continue.

Tuesday, September 25, 2012

Engkau Inginkan RedhaNya Tapi.


Duhai diri.ada sedikit pesanan buatmu.
kau kata kau nak cari redha Allah.
Betulkah?
Betulkah kau nak cari redha Allah?
Kalau betul.. kenapa kau tidak serius?
kenapa kau masih bermalas-malas?
kenapa kau masih berlemah-lemah?
kenapa kau tangguh-tangguh kebaikan?
kenapa kau layan sesuatu yang merosakkan?
kenapa kau masih tidak bersungguh-sungguh?
kenapa? kenapa dengan hatimu?
Tanya kembali hatimu..
Betulkah kau mahu redha Allah?
Betulkah kau mahu cinta kasih-Nya?
Sekiranya betul.. tunjukkanlah bahawa kau betul-betul mahu.
Jangan sekadar 'mahu' yang keluar di bibir.
Hanya cakap-cakap biasa. Omong kosong.
Tapi buktikanlah 'mahu' itu dengan usaha..
Buktikan dengan tindakan.
kau betul-betul mahu bukan? maka buktikanlah..
Buktikan pada siapa?
Buktikan pada Allah 'Azza Wa Jalla.
Buktikan kesungguhanmu dalam menagih kasih-Nya.
Biar Allah sendiri menyaksikan bahawa kau benar-benar mahukan redha-Nya.
Bila?
Bermula pada detik ini. Saat ini. Jangan ditangguh-tangguhkan lagi.
Sudah berlalu masa yang panjang dalam kehidupanmu.
Apakah ingin kau teruskan hidup tanpa kesungguhan mencari redhaNya?
Cukuplah.. cukuplah masa lalu yang sia-sia itu.
"Inilah masanya!"
Hayatilah bagaimana Allah 'Azza Wa Jalla memujuk kita untuk serius dalam mencari redha-Nya.
Firman Allah;
"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk hati mereka mengingati Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang telah diwahyukan? dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka menjadi orang-orang yang fasik(derhaka)"
(Surah al-Hadid ayat 16)
Tidakkah dirimu memahaminya?
Mengapa kau menangis? Menyesali dirimu?
Sudahlah..
Kesat air mata sesalmu dan mulakan langkahmu.
Bergeraklah mengatur dunia yang sementara ini.
Bergeraklah berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya.
Agar dirimu menuju Siratul Mustaqim.
Jalan lurus yang penuh duri dan rintangan.
Jalan lurus yang ditempuh sekalian kekasih-Nya.
Jalan lurus yang membawa ke Syurga-Nya.
Allah yang ingin kita cintai telah menetapkan bahawa itulah jalan yang mesti ditempuh oleh semua kekasih-Nya..
Firman-Nya lagi;
"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."
(Surah al-Baqarah ayat 214)
[sumber : google image]

Bergeraklah.. dan teruskan bergerak.. Biar dirimu menjadi khalifah yang serius mengabdikan diri kepada-Nya. Hanya kepada-Nya
Pada saat hatimu bersuara;
"Aku Hamba Allah yang mahu menjadi Kekasih-Nya."
Maka buktikanlah..
"Ya Allah.. Tunjukkanlah aku jalan yang lurus itu.Berilah aku kekuatan dan petunjuk dalam mengusahakan kehidupanku keranaMu.Agar pengakhiran hidupku beroleh  Rahmat keredhaan daripadaMu." Amin ya Rabbal 'Alamin.




Wednesday, August 1, 2012

Rindu ~!

Entahkan mengapa, biar ringkas bicara nya, seribu kesan di hati.

"Assalamualaikum," sana.


"Wa'alaikumussalam. Ada apa?" sini.


"Terasa macam nak cakap dengan seseorang," sana.


"Fasal apa?" sini.


"Sibuk ke? sana.

"Agak," sini.

"Ok," sana.

"Allah ada," sini.

"Tahu," sana.

"Allahlah tempat mengadu," sini.

"Ya baik," sana.

"Bangun. Malam ni. Jom sama," sini.

Senyap.

Ada tangis di situ.

"Kan bagus kalau ade di sini," sana.

"Tak bagus pun," sini.

"Kenapa?" sana.

"Orang kata ukhuwah tu lebih manis bila jauh," sini.

 Tergelak dalam sebak.

"Rindu sebenarnya," sini.

"Kenapa tak cakap?" sana.

"Saje. Nak didik sabar. Ada ujian yang jauh lebih besar tak lama lagi," sini.

Sana senyap.Sini senyap.

Dan titis itu tumpah juga. Berjuraian. Rindu pada sahabat, biar pun jauh, namun tetap dekat di hati. Biar kita jauh jasad, namun biar kita saling didekatkan dengan doa. Allahurabbi :') ❤

Ukhwah itu indah bila kita saling mendoakan :')

Wednesday, July 4, 2012

Adakah Kita Bertemu Dengan Orang yang Salah????


kadang- kadang kita terfikir :
Adakah kita bertemu dengan orang yang salah?
kawan-kawan yang tak 'ngam'?
Kawan - kawan sekolah atau universiti yang tidak boleh nak buat geng study?
Ataupun kekasih yang tiba-tiba dirasakan tak serasi?
(ingat, entry ini bukan hanya untuk cinta-sahaja, okey?)
Kerana hakikatnya, kita akan bertemu dengan ramainya manusia yang menjengkelkan hati kita, dan sangat sukar untuk kita bersama dengan mereka.
Pelbagai ragam dan karenah manusia yang  dapat kita temui di dunia ini.
Kerana berlainannya manusia itu adalah untuk apa .....
 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." - [Al Hujurat: 13]
Untuk lita'arafu..
Untuk berkenalan. Untuk mengetahui, memaknai manusia lain.
Untuk menyedari betapa beruntungnya kita, mahupun rendahnya kita berbanding manusia lain.
Untuk kita sering berlumba-lumba menggapai taqwa tanpa membeza-bezakan manusia lain.
Namun, tentu kita akan bertemu dengan manusia yang tidak serasi dengan kita serta berlainan segalanya.
Sehingga sekecil-kecil perbezaan kita menjadi besar dan dijadikan hujah untuk menjauhkan diri, apatah lagi sehingga memutuskan silaturrahim.
Walaupun diri kita dengan dia, satu aqidah, satu kefahaman dan satu cinta pada Allah..
Dan kita bertanya, mengapa diri kita dan dia, begitu jauh sekali?
Di situlah, kita kena sentiasa berusaha untuk mencari titik persamaan...
Kita takkan pernah bertemu dengan orang yang salah.
Takkan!
Kerana Allah telah menakdirkan setiap saat dan inci dalam kehidupan kita.
Setiap takdir itu merupakan satu ketetapan Allah buat kita, merupakan sesuatu yang terbaik buat kita.
Dan setiap manusia yang kita temui itu, tentu memberikan makna sesuatu pada kita.
Walaupun banyaknya kejengkelan hati kita pada dia.
Namun, tentu sebenarnya mereka yang 'salah' itu sendiri banyak mengajar kita: 'akan kekurangan diri kita sendiri.'
Bukankah seorang musuh itu terkadang lebih jujur daripada seorang sahabat sejati, yang dipetik dari kata-kata hikmah Arab.
Setiap jodoh dan pertemuan tentunya telah ditetapkan oleh Allah,
Untuk kita belajar sesuatu darinya.
Tak pernah kita bertemu dengan orang yang salah ... semua yang kita temui adalah stesen-stesen perhentian untuk mengutip hikmah, buat bekalan di dalam perjalanan.
Percayalah, kadang-kadang di awal pertemuan akan banyak berlaku perkelahian, salah faham dan ketidak seragaman.
Namun masa akan mengambil alih, memberi peluang makna kefahaman masuk ke dalam jiwa kita yang jernih.
Kerana kita pada hakikatnya, punya hati yang satu, matlamat yang satu, dan tentu cinta yang satu, hanya kepada Allah.
Ikatan hati manakah lagi yang paling kuat selain dari Allah?
Kerana itu, di setiap perselisihan, mahupun ke tidak serasian, kembalilah semula kepada apa yang akan dapat menyatukan kita.
Itulah dia Allah.
Kerana dihitung perbezaan-bezaan, memang akan semakin menjadikan hati kita jauh.
Namun, those does not matter, sebab Allah sahaja yang membinakan hati kita Insya-Allah.
And He Knows best.
Wallahua'lam.
Bersabar, dan teruslah berdoa.
Allah itu pasti menetapkan sesuatu yang terbaik buat kita, jika kita benar-benar yakin akan Dia..

Wednesday, June 20, 2012

Aku Malu....Maafkanlah.

A : "Aku malulah nak rapat balik dengan dia."
B : "Kenapa pulak?"
A : "Aku dah banyak buat salah dengan dia sebelum ni.."
B : "Pergilah minta maaf.."
A : "erm.. aku malulah.. kalau dia tak maafkan, macam mana?"

Begitulah sikap sesetengah orang. Apabila berbuat salah terhadap orang lain, timbul perasaan malu dalam diri. Malu terhadap kesalahan yang dilakukan. Ketahuilah bahawa sikap sebegitu pasti akan mendatangkan kebaikan yang banyak. Rasulullah SAW sendiri ada menyatakan perihal ini;

"Malu itu tiada kesannya melainkan kebaikan."
 [ HR Bukhari ]


Alhamdulillah.. Teruskanlah berasa malu apabila berbuat salah.
Tetapi, kita ada sedikit masalah. Mengapa kita malu untuk meminta maaf? Bukankah sikap 'meminta maaf' itu sangat baik diamalkan? Ya.. kita wajib 'meminta maaf' apabila melakukan kesalahan terhadap orang lain. Jangan malu untuk 'meminta maaf'. Perasaan malu itu biarlah bertempat. Malu berbuat jahat dianggap baik tetapi malu berbuat baik dianggap jahat. 'meminta maaf' adalah sesuatu yang baik, maka jangan malu melakukannya.


"kalau dia tak maafkan, macam mana?"


Belum minta maaf lagi, sudah berfikir yang bukan-bukan. Realitinya, memang itu yang berlaku. Sesetengah orang ragu-ragu untuk 'meminta maaf' kerana tidak yakin akan dimaafkan. Itu perkara biasa.  Tidak semua manusia bersikap pemaaf. Tidak semua manusia rela hati memaafkan orang lain.





Begitulah sedikit corak kehidupan apabila kita melakukan kesalahan terhadap sesama manusia.
Persoalan besar sekarang, bagaimana kesalahan kita terhadap Allah 'Azza Wa Jalla? Sudahkah kita memohon ampun pada-Nya? Sudahkah kita 'meminta maaf' pada-Nya? Cuba renung-renungkan seketika..
Hari ini, kita sedar akan kesalahan-kesalahan yang kita lakukan disisi Allah SWT. Sehingga kita mengaku bahawa kita banyak melakukan dosa. Lalu, terbitlah perasaan malu terhadap semua dosa-dosa yang kita lakukan. Kita jadi malu terhadap Allah.


Namun, mengapa perasaan malu terhadap Allah itu tidak diiringi dengan tindakan 'meminta maaf' kepada-Nya? Padahal kita tahu bahawa Allah Maha Pemaaf terhadap semua hamba-hambaNya.
cuba kita ubah dialog di atas tadi..
A : "Aku malulah nak rapat balik dengan Allah."
B : "Kenapa pulak?"
A : "Aku dah banyak buat dosa dengan Allah sebelum ni.."
B : "Aku pun macam tu .. apa kata kita minta maaf?"
A : "Minta maaf? erm.. betul jugak. Allah confirm maafkan kan?"
B : "Yups.. yakinlah.."


"Jangan lupa minta maaf pada Allah!" ^^
"Aku memohon ampun pada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya"
Perhatikanlah pujukan daripada Allah ini;



"Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa terhadap rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa kesemuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." 
[39:53]

Pergh.. Allah memang terbaiklah! Tidak kira sebanyak manapun dosa kita, semuanya akan dimaafkan. Itu janji Allah. Allah akan memaafkan semua dosa orang-orang yang bersungguh-sungguh meminta maaf kepada-Nya. Dengan satu syarat, orang itu mestilah bebas daripada syirik kerana dosa syirik tidak akan diampunkan.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik (MempersekutukanNya dengan sesuatu), dan Dia mengampunkan semua dosa yang lain dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." [4:48]
Subhanallah. Maha Suci Allah atas segala-galanya. Lihatlah bagaimana agungnya rahmat Allah SWT. Allah membuka pintu pengampunan-Nya dengan seluas-luasnya buat kita semua. Allah tidak akan sama seperti makhlukNya. Allah tidak memilih-milih dalam memaafkan kesalahan kita. Selagi tidak syirik, Allah pasti akan memaafkan semua kesalahan kita. Tidak seperti segelintir manusia, ada yang suka memaafkan dan ada juga yang sukar memaafkan. Maka siapakah orang-orang yang selalu 'meminta maaf' pada Allah? Semoga diri kita sendiri adalah orangnya.
Diulangi, malulah terhadap Allah atas segala dosa yang kita lakukan, tetapi jangan ragu-ragu untuk memohon maaf kepada Allah yang pasti memaafkan. Yakinlah dengan pengampunanNya. Yakinlah.. Kerana Allah mengikut sangkaan hamba-hambaNya.
Sabda Rasulullah SAW;
Sesungguhnya Allah berfirman: "Aku menurut sangkaan hambaKu terhadapKu."
[Jami' Al-Tirmizi]
Atas kesedaran ini, marilah kita ringan-ringankan bibir untuk sentiasa beristighfar memohon keampunan Allah 'Azza Wa Jalla. Tidak susah. Mudah saja.. Apabila mulut kita merayu dengan menyebut "Astaghfirullah", pastikan hati kita merintih dengan menyebut " Ampunkanlah diriku Ya Allah".


Ampunkanlah, Ya Allah
Kemudian, buktikan taubat kita dengan meningkatkan ketaatan kepadaNya serta memperbanyakkan amal kebaikan. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang Allah redha.



~Akhiratkan kehidupanmu untuk Rahmat Allah!!~


Dekatkan diri dengan Allah dengan ibadah sunat demi meraih redha & rahmat-Nya! ^_^



Jom kita amalkan doa yang Nabi ini!


اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ



Ya Allah, sesungguhnya aku telah banyak menzhalimi diri sendiri dan tidak ada yang mampu mengampuni dosa melainkan Engkau, maka berilah ampunan kepadaku dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

[HR Bukhari]



sumber : iluvislam article

Monday, June 4, 2012

Jangan tunding jari pada Allah


Bismillahirrahmanirrahim~


♪ Langkah Tercipta by UNIC ♪

Semalam aku kelukaan,
Kecewa kehampaan,
Mencalar ketabahan,
Impian seringku harapkan menjadi kenyataan
Namun tak kesampaian,

Allah…
Inginku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
Semangat tenggelam lemah daya,
Haruskah aku mengelamun jiwa
Ku berbisik inilah dugaan

Sesiapa dikehendaki oleh Allah baginya kebaikan akan diberikan cubaan kepada-Nya. (Hadis riwayat al-Bukhari)


Hidup adalah ujian. Maka, jangan letih, jangan mengeluh. Jangan pernah terfikir untuk berputus asa. Ujian itu sekolah kehidupan. Sekali tersungkur bukan bermakna kita diciptakan untuk tersungkur selama-lamanya. Tetapi, biarlah sekali itu cukup untuk memberikan kita satu pengajaran yang benar-benar terkesan dalam diri dan hati kita. Sekali kita kecewa bukan bermakna kita kecewa selama-lamanya. Cukuplah kecewa yang sekali itu dan tukarkanlah ia menjadi sebuah kegembiraan suatu hari nanti. 


Memang, apabila kita sedang jatuh bersama masalah yang kita fikir sangat memberati kita, kita tidak mampu melihat masa hadapan. Kita hanya nampak kegelapan dan kesuraman. Percayalah, ada sinar di hadapan kita. Malah kita menyangkakan ianya sebuah pengakhiran tetapi sebenarnya ia adalah sebuah permulaan. Permulaan kehidupan yang lebih baik. 

Every pious has a past, every sinner has a future.

Ya, kita mungkin ada masa silam namun kita juga masih punya masa hadapan. Jangan kita gelapkan masa hadapan hanya kerana masa silam. Cerahkan ia, jadikan masa silam itu sebagai pencerahan masa hadapan. Dan, jangan pernah menuding jari pada Dia, jangan pernah mahu menyalahkan dia. Kenapa, kenapa dan kenapa. Stop asking. Berhenti bertanya, kerana kita hanyalah hamba-Nya yang sememangnya layak diuji. Kita tidak layak bertanya. 


"Tidaklah seorang muslim ditimpa penyakit melainkan Allah akan menggugurkan bersama dosa-dosanya seperti pohon-pohon yang menggugurkan daun-daunNya." (Hadis Riwayat al-Bukhari) 

Allah hendak menyedarkan kita dari lena. Lena yang panjang. Dan yang paling penting;


"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman! Sedangkan mereka tidak diuji..." (al-Ankabut: 2-3)

Terubatlah hati dengan ayat-ayat Allah. Gembiralah hati-hati yang pilu. Bahagialah mereka yang dipilih Allah untuk merasai ujian kerana 


Allah menyayangi dan mencintai kita maka Dia tidak mahu membiarkan kita dalam kesesatan lagi. 

Cukuplah sekali dua kita jauh dan jauh dan Allah tidak ingin membiarkan kita semakin jauh lagi. Maka, jangan tuding jari pada Allah berkata Dia tidak adil kepada kehidupan kita. Dia Maha Adil dan Maha Bijaksana merancang kehidupan kita. Percayalah, Dia punya sebab tersendiri. Dia tidak akan membebani kita dengan ujian yang tidak tertanggung oleh kita. 


Teruskan perjalan kamu ^^ semoge Allah melindungi kamu.


 Dan langkahku kini terbuka
Pada hikmah dugaan uji keimanan
Dan dilontarkannya ujian diluar kekuatan setiap diri insan



Allah…
Pimpini diriku,
Untuk bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan........
Agar mimpi jadi nyata..
padaMu ku meminta

Dan ku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu
Segalanya dariMu



Waallahu'alam. 


 

*ya Allah tunjukkanlah jalan andai hilang*

Monday, May 21, 2012

Ada apa Dengan Bulan Rejab?

Dengan izin Allah SWT, kita sudahpun hampir di bulan Rejab. Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.



Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.
Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.
Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.
Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.
Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).
Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)

Keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).

Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.
Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.
Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.
Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.

mari kita sama-sama menghayati keistimewaan bulan Rejab.
terima kasih kerana membaca

Jangan Menyalahkan Takdir


Terkadang,
Angin yang lembut itu bisa berubah kencang,
Dan manusia yang sedang ketawa itu,
Terus menangis gundah..
"hahahaha" Satu hari, Adam seronok bergelak ketawa, sambil kaki berjalan mengundur.
Gedebuk!
Seperti nangka sahaja jatuhnya, semua yang ada terkejut.
Adam kembali bangun, menggosok-gosok punggungnya, "HAHA. tak sakit tak sakit." Katanya selamba.
Ah anak kecil ini.
Dahulu Kita Juga Sepertinya
Sahabat,
Dahulu, Sewaktu kita kecil kita juga kuat. Banyak kali kita terjatuh ketika cuba hendak berjalan, tapi akhirnya kita bangkit kembali. Banyak kali kita 'dikecewakan' kerana tidak dapat menjamah semua makanan, tapi selepas itu kita ketawa kembali. Banyak kali kita bergaduh dengan teman sebaya, tapi selepas itu kita kembali bersapa dan berbual mesra.
Tapi,Semakin kita menginjak dewasa, kekuatan itu semakin hilang.
Waktu ditimpa dugaan, kita asyik bersedih.
Waktu disapa ujian, kita asyik merungut.
Kita asyik menuding jari kepada Allah, sedang Allah telah pun memujuk kita dengan ayat-ayat cintaNya :
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(Al-Insyirah : 5-6)
Terkadang ada manusia yang jadi malas beribadat, tidak lagi percaya kepada Allah. Sedang Allah setia menunggu, rintihan dan doa dari hamba yang amat dirinduiNya..
Sahabat,
Dahulu, seorang sahabat Nabi, ketika ujian tidak ditimpakan kepadanya, dia berasa gundah dan sedih, soalan yang sama diulang-ulang : Apakah Allah telah lupa kepadaku?
Sekarang sahabat,
Allah menguji tidaklah sehebat ujian yang ditimpakan kepada ummat terdahulu.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Zainab puteri Rasulullah yang terpaksa memilih antara suami yang masih jahiliyyah atau ayah tercinta.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Sumayyah yang seisi keluarganya dibunuh di hadapan mata.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Bilal bin Rabah, dijemur, diseksa, dihempap batu.
Sahabat,
Allah sungguh kasih kepada kita. Tapi berbalaskah kasih itu?
Jangan Menyalahkan Takdir
Ada orang, yang usahanya sedikit, dan bila datang sesuatu yang tidak memuaskan, dia berkata : Ini adalah takdir.
Sahabat,
Kata-kata begitu hakikatnya seolah-olah kita menyalahkan takdir. Sesuatu yang belum berlaku tidak dinamakan takdir, bahkan kita masih ada peluang untuk mengubahnya.
Jika semuanya mahu bergantung kepada takdir, maka orang jahat tidak akan berubah menjadi baik kerana takdirnya sudah jahat.
orang miskin tidak perlu berusaha mencari duit, kerana takdirnya sudah miskin.
Pelajar corot tidak perlu belajar kerana takdirnya sudah corot.
Begitukah?
Mari kita baca satu cerita :
Ketika wabak penyakit berlaku di Syam, Umar Al-Khattab telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk tidak memasuki Syam.
Ada yang bertanya : Adakah engkau melarikan diri daripada Qadar Allah wahai Amirul Mukminin?
Beliau menjawab : ya, kita lari daripada Qadar Allah kepada Qadar Allah. Apa pendapat kamu jika kamu berada di atas dua jenis tanah iaitu yang subur dan kering. Bukankah jika kamu usahakan yang subur, kamu mengusahakannya dengan Qadar Allah dan jika kamu ushakan yang kering, kamu mengusahakannya dengan Qadar Allah juga?
Nak dengar cerita lagi?
Suatu ketika, seorang lelaki telah kalah dalam satu perbahasan dan berkata "Allah telah menentukan bahagianku."
Nabi SAW memarahinya kerana berkata demikian.Lahiriahnya kata-kata itu menggambarkan iman tetapi hakikatnya menampakkan kelemahan.
Sabda baginda:
"Allah membenci orang yang lemah, tetapi apabila tewas dalam suatu urusan kamu berkata: Bahagianku telah ditentukan oleh Allah."
Berusaha dan berusahalah dengan bersungguh, pilihlah takdir yang kita mahu... sehingga di pengakhiran usaha, ada sesuatu yang kita dapat setelah berusaha, barulah berkata : inilah yang telah ditentukan Allah buatku.
Tanya pada diri, apa usaha kita, dan jangan asyik berkata "Ala,dah takdir.."
Jadilah kuat. Islam itu hebat, maka mari jadi hebat untuk Islam.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-Ra'd :11)
Berimanlah kepada Qada' dan Qadar Allah ; berusaha dengan apa yang kamu termampu dan berserah dengan kekuasaan Allah. Bekerjalah tanpa putus asa.
Jernihkan fikrah kita. Islam itu amaaaatttt Indah.
Berusaha!
Fighting!
Tatkala hujan yang lebat itu telah pergi,
Pelangi memuncul diri,
Dan manusia,
Terus merungut mengenangkan hujan yang telah pun berlalu..
perjalanan hidup tak selalunya mudah ^^


credit to ; iluvislam article.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...