Duhai hati,
Aku tahu perasaan segan itu selalu datang silih berganti. Rasa tidak layak berganding bahu dengan orang-orang hebat. Rasa tidak mampu untuk berdiri satu saf bersama orang-orang yang terhormat. Kelibat masa lalu kadang-kadang membuatkan hati menidakkan kemajuan diri sekarang.
Engkau tahu wahai hati, Allah sedang membantu diri kamu. Untuk kembali bangkit. Allah telah memilihmu untuk merasai kemanisan hikmah. Ya, sekarang baru kau mengerti duhai hati? Saat-saat iman mu dalam kecemasan sedang dirawat kembali oleh Dia. Saat-saat kejatuhan Allah bantu untuk bangkit lagi. Dia sedang mengajarmu erti kehidupan; kerana Dia tidak memberikan apa yang kita mahu, tapi Dia memberikan apa yang kita perlu.
Duhai hati,
Alhamdulillah, engkau menerima terlalu banyak motivasi luaran dan dalaman. Allah menjadi keutamaan dalam setiap urusan. Allah itu pelindungmu, dan itu keyakinan jitu yang tidak akan berubah oleh apa pun. Aku bersyukur kerana Allah telah mengurniakan hati yang baru. Tahukah engkau, aku kini menjadi lebih sibuk. Namun, aku bersyukur kerana aku dapat ‘sibuk’ dengan urusan Allah, bukan sesuatu yang sia-sia, insyaallah. Aku juga kini menjadi semakin kuat dan semua itu kerana Allah yang mengajarku erti kehidupan dari sebelumnya.
Duhai hati,
Engkau juga tahu bukan, bahawa taklifan ini sangat berat untuk dipikul? Aku sebenarnya takut untuk berada satu saf bersama mereka yang hebat itu. Pernah aku sendiri berputus asa dalam jalan dakwah ini, hampir, namun Allah telah menyelamatkanku dan memilihku untuk berdakwah di jalannya. Haruskah aku menulis surat perletakan jawatan dari jalan dakwah ini dan berikannya kepada Rasulullah s.a.w? Kiranya jika aku berputus asa, adakah aku telah memberhentikan satu usaha dakwah? Aku tahu wahai hati, engkau terlalu rapuh. Kadang emosi sendiri. Tapi aku tahu bahawa Allah sedang mengajarku agar hati perlu kental untuk meniti satu usaha murni ini.
Duhai hati,
Terima kasih kerana engkau semakin kental. Terima kasih kerana engkau semakin memulih. Aku cuma mahukan engkau sentiasa sihat diisi dengan baja keimanan. Aku khuatir seperti kata Rasulullah;
"Ketahuilah, bahwa di dalam tubuh ini terdapat segumpal darah. Apabila segumpal darah itu baik, maka baik pula seluruh anggota tubuhnya. Dan apabila segumpal darah itu buruk, maka buruk pula seluruh anggota tubuhnya. Segumpal darah yang aku maksudkan adalah hati." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Aku cuma punya satu harapan, semoga Allah sentiasa memberikan kesihatan iman dan hati kepada jasad ini. Aku mohon diberikan kekuatan untuk meneruskan jalan dakwah ini, tidak ada pandang belakang lagi, dan aku juga mohon agar aku diberikan keyakinan dan keceriaan dalam kehidupan seperti yang aku rasakan kini. Ya, semuanya adalah kerana Allah telah mengajarku tentang apa itu kehidupan.
Jangan pernah putus asa. Mujahadah itu pahit kerana syurga itu indah~ =)
No comments:
Post a Comment