Saturday, November 26, 2011

~Maksud Doa Akhir Tahun & Awal Tahun ~

Fasa baru dalam tahun Islam bermula lagi...Mari hayati apa maksud doa akhir dan awal tahun Hijrah ini..

Doa Akhir Tahun :
Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kepada junjungan Rasul dan kepada keluarganya dan para sahabat sekalian.
Ya Allah, apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang Engkau larang kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya dan tidak Engkau melupainya dan Engkau berlemah lembut kepada kami walaupun Engkau memberi peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat kepada Engkau, maka sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah kami. Apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya dan Engkau telah menjanjikan kami ganjaran pahala keatasnya, maka kami memohon akan Dikau wahai Tuhan Yang Maha Mulia yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan semoga Engkau menerima kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami dari kurnia Engkau wahai Tuhan Yang Mulia. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Doa Awal Tahun :
Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kepada junjungan Rasul dan kepada keluarganya dan para sahabat sekalian.
Ya Allah, Engkaulah Yang Kekal, Qadim lagi Azali dan di atas kelebihan Engkau Yang Besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan dari nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada-Mu untuk melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah, Tuhan yang merubah segala keadaan, ubahlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kurnian-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Semoga Allah menerima doa kita semua.
Hayatilah bait-bait doa ini dan semoga doa itu tadi seiringan dengan usaha kita dalam menempuhi hari-hari yang mendatang..

Friday, November 25, 2011

Maafkanlah Mereka ~

Assalamualaikum sume~
Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia. Betapa Allah amat memberatkan hamba-Nya menjaga silaturrahim dan ukhwah sesama manusia. Dalam Al-Quran Allah telah berfirman yang bermaksud :
"Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah An Nisaa' 4:1).
Hal ini diperkuatkan lagi dengan sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa yang senang untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), maka hendaklah dia menyambung (tali) silaturahim."
Jadi jelas di sini betapa penting untuk kita menjaga ukhwah yang telah terjalin sesama manusia. Kerana menjaga ukhwah itu hakikatnya bukanlah sesuatu perkara yang mudah dilaksanakan.
Begitu jua dalam perhubungan cinta antara seorang lelaki dan wanita. Yang saling menyayangi dan mencintai antara satu sama lain. Namun kadangkala apa yang kita rancang tidak semudah yang kita sangkakan. Dan sering datang cabaran-cabaran yang membuat perhubungan terputus.
Pastinya sekiranya berlaku sedemikan dalam hubungan itu, kadangkala hati kita terlalu sakit dan kecewa atau muncul perasaan benci dengan pasangan kita kerana merasakan diri kita dipermainkan lebih parah jika kita rasa seperti dikhianati.
Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan. Lalu dendam kesumat menjadi jarum hasutan untuk kita memutuskan silaturahim. Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu."
Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk.
Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.
Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga.
Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja. Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain.
Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang."
Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku."
Maha Suci Allah, jelas dari kisah sirah ini, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia.

Jadi bagi mereka yang sedang berusaha dalam membina satu hubungan yang lebih diredhai; sabar dan tabah lah dalam menghadapi ujian-ujian yang hadir. Seandainya telah berlakunya perpisahan janganlah sesekali kita menyimpan perasaan benci dan marah di dalam hati kita.
Jangan juga kita cuba menyalahkan takdir kerana kegagalan dan perpisahan itu. Tetapi yakinlah dengan janji Allah.. perpisahan itu pasti akan berganti dengan pertemuan.. pertemuan yang lebih baik dari pertemuan yang dulu..


~Selamat Tahun Baru Hijiriah~



Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalendar hijriah. Bila tiba bulan Muharram maka tibalah tahun baru.

Berubahnya tahun bererti bertambahnya umur kita. Bertambahnya umur bererti semakin dekatlah kita dengan kematian.

Bulan Muharram adalah salah satu dari pada bulan-bulan Haram.

Allah berfirman, ”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah: 36)

Nabi saw. bersabda, “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan suci. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Muslim no. 1679)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Umat Islam dilarang berperang dan berbunuhan dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Larangan untuk melakukan maksiat adalah lebih keras dibanding bulan-bulan lain.

Abdullah Ibnu Abbas ra. mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. (Tafsir At-Thabari)


Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasa yang paling utama sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa di bulan Muharram". (HR Muslim no. 1163) 




Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja





Moga Allah memberkati kita. :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...